Oud Malaysia

Malaysia Biggest Agarwood Trader
Cart (0) Close

No products in the cart.

Home Info Spesis Gaharu

Spesis Gaharu

1. Aquilaria - Karas

pokok gaharu

Di Malaysia Aquilaria dikenali dengan beberapa nama antaranya karas, depu, engkaras, dan candan. Kebiasaannya dikenali dengan nama karas namun sesetengah spesis lebih dikenali dengan nama candan seperti candan gajah, candan padi dan candan gunung. Walaupun nama yang berbeza, namun ianya masih merujuk kepada spesis yang sama.

Pokok karas merupakan salah satu spesies di bawah Appendix II, Convention on International Trade in Endangered Species ofWild Fauna and Flora (CITES), iaitu spesies yang dikategorikan sebagai terancam dan perdagangannya di pasaran antarabangsa adalah dikawal. 

Terdapat 25 spesies Aquilaria yang dijumpai di seluruh dunia, 18 spesis mampu menghasilkan gaharu dan daripada jumlah tersebut hanya 8 spesis yang terdapat di Malaysia.

Gambar asal dari laman mycites.frim (diubahsuai dan telah dikemaskini)

Terdapat 5 spesis tempatan yang sangat bernilai tinggi iaitu:

  • Aquilaria Malaccensis  – Karas, Depu
  • Aquilaria Hirta – Karas baldu, Candan bulu, Karas bulu
  • Aquilaria Microcorpa – Candan, Engkaras
  • Aquilaria Rostrata – Candan batu/minyak, Candan gunung
  • Aquilaria Beccariana – Candan gajah, Karas batu

Aquilaria Malaccensis adalah spesis asli Malaysia. Paling banyak di hutan dan telah banyak kajian dibuat di Malaysia bagi menghasilkan resin gaharu yang berkualiti tinggi. Mereka yang berminat untuk menanam pokok gaharu digalakkan mencuba spesis ini kerana ianya salah satu dari 3 spesis yang mendapat permintaan tertinggi di dunia. Aquilaria Hirta pula jarang ditemui namun dipercayai boleh menghasilkan gaharu yang banyak dan bermutu tinggi.

Kredit: mycites.frim.gov.my

Pokok karas boleh mencapai ketinggian sehingga 40 meter tingginya. Diameter batangnya pula boleh mencapai sekitar 60 cm. Karas merupakan sejenis tumbuhan yang tumbuh di kawasan hutan hujan tropika, terutamanya di tanah rendah sehingga ke kawasan yang ketinggiannya sehingga 270 meter daripada paras laut. Taburan pertumbuhan karas secara geografinya meliputi kawasan Asia Tenggara, India dan China. Karas boleh hidup di semua jenis tanah kecuali kawasan paya dan berair. Pokok karas akan matang pada usia 7-9 tahun dengan mula mengeluarkan bunga dan buah.  

Meskipun semua karas berkongsi ciri yang hampir serupa namun ada sedikit perbezaan antara mereka. Misalnya Aquilaria hirta hanya 15 meter tinggi. Bawah daun, buah, ranting dan bunga berbulu. Aquilaria rostrata pula hanya tumbuh di kawasan pergunungan dan spesis ini tiada di negara lain, hanya wujud di semenanjung Malaysia.

Daun pokok karas yang berbenang apabila dicarik
Bunga pokok karas
Buah pokok karas

Kajian mendapati bahawa lebih 90% ladang di Malaysia menggunakan anak benih import . Tiga spesis popular adalah Aquilaria Sinensis, Aquilaria Crassna dan Aquilaria Crasnna-hibrid (Aquilaria Subintegra). Keadaan ini terjadi kerana penjualan anak pokok besar-besaran suatu ketika dahulu yang dihasilkan oleh saintis hasil pembiakan tisu kultur. Harganya jauh lebih murah dan dapat diperolehi dengan mudah berbanding spesis tempatan. Namun masalah utama anak pokok tisu kultur adalah tiada akar tunjang. Jadi pokok mudah tumbang apabila terkena angin ribut. 

2. Gyrinops (Cendana)

Terdapat 8 spesis dari genus Gyrinops dan hanya 2 mampu menghasilkan gaharu. Dari dua ini, Gyrinops Cumingiana didapati tumbuh di Malaysia dan ianya dikenali dengan nama Cendana. Cendana disini tidak merujuk kepada kayu cendana (sandalwood) dari spesis Santalum Album. Nama yang sama, namun merupakan spesis yang berbeza. Pokok cendana mempunyai rupa fizikal yang hampir sama dengan pokok karas bahkan suatu ketika dahulu pernah dikelaskan dibawah genera yang sama. Sehinggalah kajian dibuat dan saintis megesahkan bahawa kedua-duanya adalah genera yang berbeza.

3. Aetoxylon - Gaharu Buaya

Gaharu buaya berasal dari Pulau Borneo. Kayunya lebih keras dan sesuai dibuat gelang, tasbih dan barang perhiasan kerana keutuhannya. Berbeza dengan kayu karas yang agak lembut. Hanya ada satu spesis dalam genera ini mampu menghasilkan gaharu iaitu Aetoxylon Sympethalum. Di Malaysia, taburan spesis ini biasanya di Sarawak. 

Mungkin ada yang pernah mendengar istilah white oud ataupun white agarwood. White oud ni merupakan minyak yang dihasilkan daripada gaharu buaya. Pada amnya, kualiti gaharu buaya dianggap kelas kedua berbanding gaharu karas yang dianggap kelas pertama. Harganya juga lebih murah dari gaharu karas. Baunya hampir sama dan sukar dibezakan, namun bagi yang pakar mereka akan dapat menghidu perbezaan dua jenis kayu ini. Berbeza dengan karas, pokok gaharu buaya tidak perlu disakitkan terlebih dahulu. Resin akan muncul secara sendirinya. Dalam industri minyak wangi, minyak gaharu buaya biasanya akan dicampur dengan minyak gaharu karas sebelum dieksport ke negara lain dan dijual dengan harga yang murah. 

White Oudh Oil
Kayu Gaharu Buaya
Gelang Gaharu Buaya

Untuk mengelakkan penipuan, import gaharu buaya telah diharamkan oleh kerajaan Malaysia

4. Gonystylus (Ramin Melawis)

Terdapat dua spesis utama yang dapat menghasilkan gaharu dari genus ini. Dua-dua spesis ini juga terdapat di Malaysia. Gonystylus Bancanus dikenali dengan nama Ramin di semenanjung, tapi di Kepulauan Borneo ada yang memanggilnya gaharu buaya. Walau bagaimanapun, perdagangan pokok ini lebih kepada kayu balak dan kayu gergaji untuk pasaran industri perabot dan kilang kayu.

5./6. Enkleia dan Wikstroemia

Enkleia dan Wikstroemia tidak akan diceritakan di dalam artikel ini kerana kekurangan maklumat. Namun tidaklah menjadi suatu masalah besar kerana dua spesis ini bukanlah spesis utama yang diperdagangkan meskipun mempunyai kemampuan menghasilkan gaharu. 

Penutup

Baiklah itu sahaja yang saya ingin kongsikan untuk artikel kali ni. Artikel ini banyak diambil daripada buku Gaharu Komoditi Ketiga Negara tulisan En Ismail dan lain2. Dan anda boleh dapatkan buku ni terus melalui En Ismail di 017 691 2202. Semoga penulis buku ini dilimpah segala rezeki atas usaha mereka berkongsi ilmu kepada rakyat Malaysia. Amin.. 

Jika anda rasa artikel ini bermanfaat jangan lupa komen dan kongsikan artikel ini. Semoga kita berjumpa di penulisan seterusnya – Khusyairie

Kongsi Artikel

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published.